Selain denda yang dikenakan bagi pernikahan yang tidak berdaftar, perkara yang paling penting yang perlu diketahui adalah banyak masalah yang akan berbangkit daripada itu. Tidak dinafikan, ramai pihak cuba mengambil mudah dan melengahkan urusan pendaftaran nikah sama ada poligami mahupun monogami hinggalah muncul beberapa masalah.
Tanpa disedari, ramai pihak mula bertindak mendaftarkan pernikahan apabila isteri mula mengandung, isteri hampir nak bersalin / melahirkan anak, pasangan hendak atau telah bercerai luar Mahkamah, kematian pasangan dan banyak lagi masalah yang berbangkit.
Dari setiap permasalahan yang dinyatakan di atas, akan muncul permasalahan lain atau erti kata lain adalah masalah berangkai.
Sebagai contoh, : Suami berkahwin dengan Isteri bukan warganegara. Hasil perkahwinan itu, pasangan memperoleh anak perempuan. Masalah yang bakal berbangkit di kemudian hari ialah penasaban anak dalam surat beranak, isu wali semasa anak hendak bernikah, taraf kewarganegaraan anak, isu pendaftaran persekolahan, bil-bil rawatan sebagai anak bukan status warganegara, pembahagian harta faraid untuk si anak jika ibu bapa meninggal dunia. Permasalahan akan bertimbun-timbun selagi mana pasangan tidak mendaftarkan pernikahan segera
Sekiranya, pasangan tidak memperoleh cahaya mata dari pernikahan yang tidak didaftarkan, tetap akan ada masalah yang muncul di kemudian hari seperti status pasangan jika bercerai, isteri tidak berhak membuat tuntutan selepas perceraian dan lain-lain lagi.
Pendedahan kefahaman sebegini sepatutnya menjadikan kita lebih cakna supaya tidak melengahkan pendaftaran nikah. Selain dari masalah yang berbangkit, ia sebenarnya soal hak dan tanggungjawab kita terhadap pasangan terutama terhadap Hukum Syarak dan Undang-Undang Keluarga di Malaysia.

