Ammar Nadrah & Associates – Peguam Syarie Berpengalaman

APA ITU INTERIM HADHANAH / HAK JAGAAN SEMENTARA MENURUT MAHKAMAH SYARIAH

Setiap ibu dan bapa mempunyai naluri untuk melindungi dan menjaga anak mereka, walau apa pun yang berlaku dalam hubungan perkahwinan. Namun begitu, apabila berlaku perpisahan atau perceraian, pertikaian tentang siapa yang patut menjaga anak sering timbul. Dalam situasi inilah, hak jagaan anak sementara memainkan peranan penting, terutamanya bagi memastikan kebajikan anak tidak terjejas sepanjang prosiding kes di Mahkamah Syariah berlangsung.

Apa Itu Hak Jagaan Anak Sementara?

Hak jagaan anak sementara atau dalam istilah Mahkamah Syariah disebut sebagai “perintah interim hadhanah”, adalah satu perintah sementara yang dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah bagi menentukan siapa yang akan menjaga anak sebelum Keputusan Hak Jagaan Anak secara kekal dibuat.

Perintah ini sangat penting dalam beberapa situasi kes seperti:

  • Ibu atau bapa merebut anak tanpa persetujuan.
  • Kebajikan dan keselamatan anak terancam.
  • Anak menjadi mangsa konflik rumah tangga.

Kenapa Hak Jagaan Sementara Ini Sangat Penting?

  1. Lindungi kebajikan anak secara segera
    Anak yang menjadi mangsa perebutan atau pengabaian boleh mengalami tekanan emosi. Jagaan sementara memberi perlindungan serta-merta.
  2. Elakkan perebutan anak secara melulu
    Perintah ini menghalang mana-mana pihak daripada membawa lari anak tanpa kebenaran mahkamah dan/atau menghalang mana-mana pihak menafikan akses anak terhadap pihak satu lagi.
  3. Stabilkan keadaan keluarga semasa proses mahkamah
    Ia membantu mengurangkan konflik antara ibu bapa dan memastikan anak tidak terheret n dalam konflik yang berlaku

Siapa Boleh Mohon Hak Jagaan Sementara di Mahkamah Syariah?

Permohonan boleh dibuat oleh:

  • Ibu atau bapa kandung
  • Penjaga sah
  • Mana-mana pihak yang berkepentingan dengan kebajikan anak

Jagaan Anak Adalah Amanah, Bukan Hak Mutlak

Hadis Nabi SAW melalui Abdullah bin `Amr R.Anhuma ketika mana datang seorang wanita kepada Rasulullah SAW lalu berkata:

يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ ابْنِي هَذَا كَانَ بَطْنِي لَهُ وِعَاءً وَثَدْيِي لَهُ سِقَاءً وَحِجْرِي لَهُ حِوَاءً وَإِنَّ أَبَاهُ طَلَّقَنِي وَأَرَادَ أَنْ يَنْتَزِعَهُ مِنِّي فَقَالَ لَهَا رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: أَنْتِ أَحَقُّ بِهِ مَا لَمْ تَنْكِحِي

Maksudnya: Wahai Rasulullah, sesungguhnya anakku ini, perutku adalah tempatnya, putting susuku adalah tempat minumnya dan pangkuanku adalah rumahnya sedangkan ayahnya telah menceraikanku dan ingin merampasnya dariku. Lalu Rasulullah SAW berkata kepadanya: “Engkau lebih berhak terhadapnya selama engkau belum bernikah”.

Berdasarkan hadis di atas, walaupun ibu lebih berhak daripada bapa, namun masih perlu diketahui bahawa kelayakan seorang ibu boleh hilang bukan hanya disebabkan perkahwinan yang baru semata-mata. Isu ini akan kami huraikan dalam penulisan artikel lain untuk rujukan anda.

Sama ada anda ibu atau bapa, ingatlah bahawa anak bukan harta untuk direbut, tetapi amanah Allah yang perlu dijaga dengan penuh kasih sayang beserta tanggungjawab. Perintah Hak Jagaan Anak Sementara dari Mahkamah Syariah bukan sekadar memberikan hak anak kepada ibu atau bapa semata-mata, hakikatnya Perintah tersebut sangat membantu emosi anak-anak yang berhadapan dengan situasi ibu bapa yang telah berpisah. Kita perlu sedar bahawa emosi anak-anak kecil walaupun secara zahir seperti tidak memhami, namun hakikatnya anak kecil ini tahu untuk merasainya dan mereka mampu untuk  mentafsirkannya saat mereka semakin membesar dan inilah yang dinamakan proses tumbesaran.  

Jika anda sedang berdepan isu perebutan anak, dapatkan khidmat nasihat peguam syarie yang berkelayakan seawal mungkin. Ini kerana penjagaan anak sama ada Tuntutan Hak Jagaan Anak Secara Kekal atau Hak Jagaan Sementara merupakan kes yang dikendalikan di Mahkamah Tinggi Syariah. Setiap kes ini memerlukan penelitian dokumentasi, kenyataan dan pembuktian yang teratur. Ini bukan sahaja memudahkan proses mahkamah, malah membantu anda menjaga dan melindungi hak anak dengan saluran yang betul.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *