Taklik dari segi bahasa bermaksud gantung atau sangkut. Manakala menurut istilah fiqh, taklik bermaksud mengaitkan berlakunya talak dengan suatu peristiwa atau perbuatan sebagai syarat. Dengan kata lain, perkataan talak akan jatuh sekiranya berlaku peristiwa atau perbuatan yang dimaksudkan itu.
Umpamanya, seorang suami berkata kepada isterinya: “Jika engkau keluar dari rumah ini tanpa kebenaranku, maka engkau akan tertalak.” Maka sekiranya isteri keluar rumah juga tanpa kebenaran suami tersebut maka talak akan jatuh.
Di samping itu juga, menurut Undang-Undang Keluarga Islam yang berjalan di negeri-negeri sekarang, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 1984, sebagai contoh telah memperuntukkan dalam Seksyen 50 bahawa:
Seseorang perempuan yang bersuami boleh, jika berhak mendapat perceraian menurut syarat-syarat surat perakuan taklik yang dibuat selepas kahwin, memohon kepada mahkamah untuk menetapkan bahawa perceraian yang demikian telah berlaku.
Peruntukan tersebut jelas memberi hak kepada isteri yang hidup teraniaya, diabaikan atau dicabul hak mereka oleh pihak suami untuk menuntut perceraian menurut syarat-syarat perakuan taklik yang telah dibuat oleh suami selepas akad perkahwinan.
Contoh lafaz taklik yang diucapkan oleh pengantin lelaki (suami) sebaik saja akad nikah selesai adalah seperti berikut:
“Saya mengaku apabila saya tinggalkan isteri saya selama 4 bulan samada dengan sendiri, secara paksa, atau saya, atau wakil saya, tidak memberi nafkah kepada isteri saya untuk masa itu sungguhpun dia taat kepada saya dan saya menyebabkan kecederaan kepada badannya, dan dia mengadu kepada mahkamah syariah dan disabitkan oleh mahkamah syariah akan aduannya dan dia memberikan kepada Mahkamah Syariah itu satu ringgit untuk diberi kepada saya maka gugurlah satu talak khuluk.”
Asas bagi cerai taklik ialah janji yang telah dibuat oleh pihak suami bahawa pihak isteri akan berhak mendapat cerai dalam hal keadaan tertentu misalnya jika suami melanggar syarat-syarat yang telah dipersetujui oleh pihak-pihak itu dalam perjanjian perkahwinan. Jenis percerian ini juga dikenali sebagai tafwid at talak.
Pihak suami adalah terikat dengan janjinya, kerana orang Islam pada amnya hendaklah memenuhi dan menunaikan janji-janji mereka sebagaimana firman Allah S.W.T dalam Surah al-Maidah 5:1 yang bermaksud:
‘Hai orang-orang yang beriman, penuhilah aqad-aqad (perjanjian-perjanjian) itu.’
Berhubung dengan perjanjian atau persetujuan di antara suami isteri, Allah S.W.T berfirman dalam Surah an-Nisa’ 4:128 yang bermaksud:
‘Dan jika seorang wanita khuatir akan nusyuz (atau sikap acuh tidak acuh) dari suaminya, maka tidak mengapa bagi keduanya mengadakan perdamaian yang sebenar-benarnya, dan perdamaian itu lebih baik (bagi mereka), walaupun manusia itu tabiatnya bakhil kedekut. Dan jika kamu bergaul dengan isterimu secara baik dan memelihara dirimu (dari nusyuz), maka sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.’
Oleh yang demikian, sebilangan besar tuntutan untuk cerai taklik yang dibuat di mahkamah syariah di Malaysia adalah disebabkan alasan pihak suami tidak memberi nafkah kepada pihak isteri, atau telah meninggalkan isteri atau menyakitinya dan ianya adalah merujuk kepada lafaz taklik yang dibacakan oleh suami selepas akad nikah. Ada pun taklik yang dibuat selain daripada itu, kedua-dua pasangan tetap perlu mengesahkan lafaz taklik tersebut melalui Pengesahan Lafaz Cerai di Mahkamah Syariah.


