Mut’ah adalah pemberian sagu hati yang wajib diberikan oleh suami kepada isteri yang diceraikan tanpa sebab yang munasabah mengikut Hukum Syarak. Tujuannya adalah untuk meringankan beban isteri akibat penceraian, membolehkan isteri memulakan hidup baru, dan sebagai tanda penghargaan suami terhadap isteri atas sumbangannya selama perkahwinan.
Allah berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 236 yang bermaksud:
“hendaklah kamu memberi “Mut’ah” (pemberian saguhati) kepada mereka (yang diceraikan itu). Iaitu: suami yang senang (hendaklah memberi saguhati itu) menurut ukuran kemampuannya; dan suami yang susah pula menurut ukuran kemampuannya, sebagai pemberian saguhati menurut yang patut, lagi menjadi satu kewajipan atas orang-orang (yang mahu) berbuat kebaikan”.
Mut’ah wajib diberi kepada perempuan yang berkeadaan berikut:
1. Isteri yang diceraikan selepas persetubuhan.
2. Isteri yang diceraikan sebelum persetubuhan dan mas kahwinnya tidak disebut semasa aqad nikah. 3. Isteri yang diperintah berpisah dengan suaminya. Keadaan ini berlaku disebabkan oleh suami murtad atau melakukan li’an (اللعان). Perpisahan tersebut berlaku selepas persetubuhan atau sebelum persetubuhan, dengan syarat mas kahwin tidak disebut dalan aqad nikah.
Isteri yang diceraikan sebelum persetubuhan, sedangkan mas kahwin telah disebut dalam aqad nikah, maka dia tidak berhak mendapat mut’ah kerana telah mendapat setengah daripada mas kahwin dan dia belum memberi sesuatu pun kepada suaminya.
Setelah dinilai dari sudut kelayakan, kita juga wajib meneliti dari sudut KEMAMPUAN BEKAS SUAMI. Perkara ini ditekankan oleh Allah S.W.T. sendiri di dalam potongan ayat di atas yang berbunyi “Iaitu suami yang senang (hendaklah memberi saguhati itu) menurut ukuran kemampuannya; dan suami yang susah pula menurut ukuran kemampuannya”.
Jelas di sini bahawa pendapatan, status, kedudukan serta gaya hidup bekas suami adalah faktor-faktor yang perlu dinilai dengan baik bagi menentukan kadar yang munasabah bagi maksud pemberian mut’ah kepada bekas isteri.
Namun begitu, pemberian hak mutaah ini sering terlepas pandang kerana kebanyakan bekas isteri dibelenggu dengan tekanan dan emosi yang dihadapi sepanjang dalam tempoh perkahwinan sehinggalah berlakunya perceraian menyebabkan tidak mampu fokus terhadap hak-hak yang layak dituntut dan diterima. Ada sesetengah pihak juga memikirkan mutaah ini hanya akan membebankan bekas suami disebabkan ketidakmampuan untuk membayar mutaah. Hakikatnya, mutaah adalah hak yang wajib diberikan kepada bekas isteri sebagai penghormatan kepada beas isteri yang telah menjalankan tanggungjawab sepanjang perkahwinan serta saguhati untuk meneruskan kehidupan akan datang.


